Wednesday, September 9, 2009

BEKAS KETUA WANITA UMNO DIBUNUH KEJAM

KUALA BERANG 8 Sept. - Bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Mengkawang ditemui mati dibunuh dalam keadaan mengerikan di ruang tamu rumahnya di Felda Mengkawang, dekat sini hari ini.
Mayat Asimah Abdul Rahman, 51, yang juga Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita Felda Wilayah Terengganu ditemui dengan sembilan kesan tikaman di dada dan rusuk kiri manakala perutnya terburai.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika mangsa berseorangan di rumah selepas pulang dari rumah jiran berdekatan.
Menceritakan kejadian itu, jiran mangsa, Asmah Mat Adam, 45, berkata, dia datang ke rumah mangsa pada pukul 3 petang dan menemui mayat jirannya itu.
"Setelah salam saya tidak berjawab, saya berasa hairan kerana mendapati pintu rumah terbuka dan televisyen terpasang namun mangsa tiada.
"Sebaik sahaja menjengah masuk ke dalam rumah, saya dapati mangsa terbaring dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah," katanya yang terus memanggil jiran lain selepas itu.
Suami mangsa, Hussain Sulong, 54, ketika ditemui berkata, dia keluar bekerja seawal pukul 6 pagi dan hanya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa isterinya pada pukul 4 petang.
"Saya ada menelefon isteri saya lebih kurang pukul 3 petang namun tidak berjawab. Salah seorang daripada anak saya kemudian menghubungi saya memaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Supritendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah berkata, kejadian itu dipercayai bermotifkan rompakan berikutan seutas rantai leher mangsa dan tujuh utas gelang turut hilang dalam kejadian itu.
"Siasatan awal polis juga mendapati, mangsa bertindak mempertahankan diri dan bergelut dengan suspek berdasarkan kecederaan yang dialami," katanya.
Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-Dipetik dari Utusan Malaysia 090909

Komen penulis:
Al-Fatihah buat Allaharyamah Asimah, serta takziah kepada keluarganya. Banyakkan bersabar.
Arwah amat dikenali kerana penglibatan aktifnya. Anaknya ( Badrol ) merupakan kenalan rapat di kampung. Pada hemat penulis: tragedi tragis ini adalah rompakan yang dilakukan oleh penagih dadah di sekitar Felda Mengkawang. Penagih sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan duit termasuk membunuh seperti contoh seorang penagih sanggup membunuh anak saudaranya sendiri seawal usia 2 tahun minggu lepas.
Bagi kes di atas serah sahaja kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Selepas ini, kaum wanita, kanak-kanak mahupun lelaki akan merasa trauma dan takut ekoran tragedi ini berlaku di kawasan kampung yang dahulu aman damai, makmur dan sejahtera.
Sempena bulan almubarak ini sama-sama kita berdoa agar diri kita, keluarga kita, masyarakat dan negara dijauhi dari perkara jenayah sebegini.
Sepatutnya di kawasan penempatan ini disediakan pondok polis bagi menjaga ketenteraman awam.
Al-Fatihah buat arwah semoga ditempatkan bersama orang soleh. Amin....

1 comment:

  1. bahayenye Mengkawang le ning! siap ade bunuh2 lagi. Oh, bahayenye....

    ReplyDelete