Saturday, December 10, 2011

GERHANA BULAN

Assalamualaikum....
Kebesaran dan kekuasaan Allah tiada bandinganNya. Disebalik kejadian ada hikmahnya. Sebagai seorang hambaNya kita mesti memuji keagungan dan bersyukur di atas segala nikmatNya. Umat Islam sekali lagi berpeluang menyaksikan peristiwa gerhana bulan penuh di Malaysia pada 10 Disember 2011 bersamaan 15 Muharram 1433H.
Dalam al-Quran banyak disebut kalimah al-qamar (   القَمَرِ ). Bahkan ada surah dinamakan dengan al-Qamar. Cekerawala itu berfungsi sepenuhnya seperti biasa. Namun mengikut pandangan bijak pandai ia berlaku kerana bulan yang mengelilingi bumi akan berada di kawasan terlindung. Bulan tidak dapat menerima cahaya matahari kerana dibayangi bumi. Kejadian ini akan berlaku mulai jam 7.48 malam ( lbh kurang ) dan berkahir pada 12.00 malam. Ketepatan waktunya - wallahu a'lam...

Sebagai umat Islam, kita digalakkan menunaikan solat sunat  gerhana bulan pada waktu terjadinya kejadian tersebut ( sunat mua'kad ). Sesudah solat dibacakan pula dua khutbah. Sebagai orang Islam marilah tingkatkan kualiti ibadah dan tinggalkan kemungkaran... Wallahu a'lam.

CARA-CARA SOLAT SUNAT GERHANA BULAN
Dua rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA PELAKSANAANNYA
Solat gerhana bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan dikuatkan suara seperti mana-mana solat malam.
Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat yang lain.
Cara Kedua : Disebut dengan “ أدنى الكمال ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.
Bagi kita di Malaysia, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua). Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang
kedua.
Waktunya -  bagi solat gerhana bulan ialah ketika bermula  berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

ATURAN SOLAT GERHANA BULAN
1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru :
الصلاة جامعة
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.
-    Lafaz niat untuk gerhana bulan :
اصلي سنة خُسُوفِ القَمَرِ رَكْعَتَيْنِ مَأمُومًا للهِ تعالى
 “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah Ta’ala”.
5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti khutbah Hari Raya).

No comments:

Post a Comment