Wednesday, December 30, 2009

SK PULAU TIMBANG

Assalamualaikum....
Dalam kesibukan menyambut tahun baru, terdetik pula ingin mencerita tentang pengalaman pertama 'posting' ke Sabah. Awal 1997 berlepas ke Sabah bersama rakan-rakan selepas bermalam di Wisma Belia, KL. Penerbangan ke Kota Kinabalu memakan masa 2jam lebih. Sesampai di KK kami ditempatkan dihotel selama seminggu untuk taklimat. Akhirnya barulah dapat tahu penempatan dengan tiket kapal terbang lagi ke Sandakan. Sampai di Sandakan disambut pula oleh senior-senior yang dah lama bertapak. Ingat lagi pertama puasa 1997 ( Jumaat ) aku dengan 5 orang sahabat menaiki bot laju PPD untuk di hantar ke sekolah masing-masing. Seorang demi seorang 'dicampak' di pulau. Aku yang ketiga di Pulau Timbang atau lebih dikenali Kampung Tronglit. Masyarakat sana memang baik dan amat menghormati tetamu. Sampai di jeti, sekolah dah tutup dan kebanyakkan gurunya telah keluar ke bandar Sandakan. Cuma adalah cikgu tempatan iaitu Cikgu Awang dan Cikgu Samrah menyambutku dan menempatkan aku di Masjid. Ketika tu sibuk penduduk kampung hendak mendirikan solat Jumaat. Sesudah solat Jumaat tinggallah aku keseorangan di masjid dan 1001 persoalan dalam kepala. Almaklumlah tempat baru mana hendak dituju, bayangkan pulau. Mana aku nak buka puasa, bukannya ada kedai makan. Hampir berbuka puasa Cikgu Samrah menjemput aku ke rumahnya untuk sama berbuka. Alhamdulillah sahur pun dipanggilnya lagi. Aku menetap dulu di masjid selama 2 hari 1 malam.
          Pada petang Ahad, barulah aku dapat tempat yang selesa sedikit iaitu berkongsi kuarters guru dengan cikgu Isak Thomas. Selama sebulan dan akhirnya hari raya, aku masih di Tronglit. Hatrik, 3tahun berturut-turut aku beraya di Kg Tronglit.
Sememangnya banyak kenangan yang tak dapat dilupakan selama 3 tahun aku bertugas di SK Pulau Timbang, Sandakan, Sabah. Kahwin tahun 1999 dan masih juga berpisah dengan isteri. Akhirnya, tahun Millenium, alaf baru tahun 2000 aku bertugas di SK Ampang, Selangor sebelum bulan Jun 2000 ditukarkan ke SK. Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
Aku amat berterima kasih kepada guru di SK Pulau Timbang dulu antaranya, En Hassan b Taris (GB), Cikgu Awang, Cikgu Isak Thomas, Cikgu Samrah Diki, Cikgu Idrohom Ismail, Cikgu M. Hassan Nordin b Musa, Pn. Zamnatul, Pn. Aziah juga Kak Salomah. Begitu juga masyarakat Tronglit yang ku anggap semuanya adalah keluarga angkat. Sememangnya masyarakat Tronglit amat menghormati tetamu dan amat-amat baik kepadaku. Insya Allah satu hari akan ku ke sana lagi. Maaf tak ingat semua penduduk kampung untuk ditulis di ruangan ini ( nanti ada yang berkecil hati bah ) Antara kenangan di Pulau Timbang:







Friday, December 25, 2009

CUTI-CUTI MALAYSIA

21-23/12/2009, selama 3 hari 2 malam aku dan keluarga telah memanfaatkan cuti sekolah ke Tiara Beach Resort, Port Dickson. Lebih kurang 100km dari Hulu Langat. Turut dibawa sama anak-anak buah ( Aqila, Haziqa dan Aiman ). Keluarga ku macam biasalah Aku, isteri, anak ( Akif dan Aina ). Walaupun Akif masih lagi "sengal-sengal kepala" namun dia nak juga ke sana. Isteriku sibuk menyiapkan assigment yang hendak dihantar. Antara aktivitinya; mandi kolam, berbasikal, video game, kid corner, fish spa, urut kaki dan sesekali keluar ke pantai PD.
Aksi-aksi di Tiara Beach Resort, PD.








Friday, December 18, 2009

MAAL HIJRAH

Salam Maal hijrah....
"MEMANTAPKAN UKHWAH MEMPERKASA UMMAH"

PERISTIWA hijrah Nabi Muhammad SAW kira-kira 1431 tahun lampau menjadi asas kepada pembinaan tamadun Madinah dan Islam secara khusus. Perjuangan Rasulullah Nabi Muhammad SAW di Makkah yang dikuasai kafir Quraisy dan penentangan puak kafir yang menolak mentah-mentah syiar Islam dihadapi Baginda dengan penuh tabah dan sabar sehingga Allah SWT memerintah berhijrah ke Madinah demi kesinambungan menegakkan akidah Islam.
Sesungguhnya umat Islam perlu insaf bahawa agama Islam yang syumul perlu dijadikan cara hidup kerana perjuangan yang penuh dugaan demi menyampaikan kalamullah perlu dihargai oleh setiap khalifah di muka bumi dengan penuh takwa.
Umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dengan prasarana moden dan status negara kita sebagai negara Islam dan agama Islam sebagai agama rasmi, maka wajarlah kita bersyukur dengan kemudahan dianugerahkan Allah kepada kita.
Kita ada masjid indah untuk beribadat. Setiap taman mempunyai surau yang mampu memuatkan jemaah untuk beribadat tidak kira dari parti politik manapun, di depan Allah semua sama cuma ketakwaan dan amal ibadah yang membezakan kita di sisi-Nya. Justeru, wajar kita memanjat rasa syukur kepada Ilahi kerana kepemimpinan negara sejak zaman selepas merdeka tidak mengabaikan pembangunan modal insan yang menitikberatkan pembentukan sahsiah dari segi keagamaan.
Umat Islam wajar menggunakan sepenuhnya nikmat beribadat kepada Allah dengan mengunjungi masjid dan surau serta mengimarahnya. Jangan jadikan masjid semata-mata tempat untuk ‘berhijrah’ daripada masalah kewangan dan perasaan tidak keruan atau dijadikan mimbar politik memecah-belah perpaduan ummah.
Sebagai seorang Muslim temujanji lima waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak setiap hari adalah wajib. Dalam menghayati konsep hijrah itu sendiri, umat Islam dianjurkan untuk berpindah daripada satu kedudukan yang buruk dan mudarat kepada kedudukan lebih baik dan selamat.
Amat bertepatan sekali usaha kerajaan di bawah konsep Islam Hadhari dan 1Malaysia dan penerapan nilai Islam dan memperkasakan institusi Islam seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam secara berterusan dipergiatkan.

Usaha murni kerajaan wajib kita sokong dalam membanteras gejala tidak sihat dalam masyarakat. Ulil Amri wajib disokong jika dasar menghapuskan rasuah ini mampu menjadikan negara kita lebih aman dan makmur. Maka sempena Maal Hijrah 1431, berubahlah dari negatif kepada positif. Allah tidak akan ubah nasib seseorang itu melainkan dirinya sendiri.

MALAYSIA JUARA

SYABAS & TAHNIAH... Malaysia mencatat sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA 25 selepas 20 tahun penantian apabila mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos.
Jaringan sendiri pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Emas acara bola sepak itu merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara dalam Sukan SEA tersebut.
Kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.
Ini merupakan kali pertama Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia Tenggara termasuk Piala Tiger.
Kemenangan itu turut menebus kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.Vietnam yang turun selaku pasukan pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental bertahan daripada dibocori.
Hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga tertampan ke gawang sendiri, yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.
Pujian harus diberikan kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi merealisasikan impian selama ini.
Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang dimenangi ini akan mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia.
Nampaknya, bolasepak negara berada dalam proses Transformasi sesuai dengan sambautan Maal Hijrah dan Tahun baru 2010.

Friday, December 4, 2009

AIDILADHA

Aidil Adha. Kemeriahannya bila melakukan ibadah korban. Pada tahun 1430h keluarga kami menyembelih seekor lembu sebagai pengorbanan pada tahun ini. Daging tersebut diagih-agihkan kepada jiran tetangga. Antara kenangan semasa mengerjakan ibadah ini:


Semoga ibadah korban kami diterima oleh Allah dan ibadah ini akan dilaksanakan pada setiap kali menyambut Aidil Adha.


KUNJUNGAN TAN SRI DR. MOHD YUSOF NOOR

Salam 1Malaysia buat semua. FM mencatat sejarah tersendiri kerana menerima kunjungan orang No.1 FELDA. Peristiwa ini berlaku pada 4 Oktober 2009, namun penulis baru sahaja mendapatkan gambar untuk dimuatkan dalam blog ini untuk tatapan umum. Kunjungan beliau sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Tahlil Allahyarhamah Pn. Asmah yang meninggal dunia dengan tragis.
Dalam majlis tersebut Y. Bhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi FELDA turut sama bertahlil dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarhamah serta menikmati jamuan hari raya.










Thursday, November 26, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA


Raya Haji, Raya Korban ataupun Aidil Adha semuanya sama. Namun sambutan hari raya ini tidak semeriah AIdil Fitri. Ia bergantung kepada individu masing-masing. Kemeriahannya terbit kepada jemaah haji yang menyempurnakan rukun Islam ke5.
Pada 9 Zulhijjah lagi jemaah haji telah melakukan wukuf di Arafah. Kemudian masuk ke Mekah untuk melakukan tawaf di Kaabah serta beberapa ibadah haji yang lain. Lab bai kallahumma labbaik, labbaikala syari kalaka labbaik, innal hamda, walnikmata laka walmulk, la syarika lak....  Laungan ini mengingatkan kembali ketika mengerjakan umrah. Tapi umrah dengan haji berbeza. Terasa pula ingin ke kota suci lagi. Doakan cepat-cepat dapat mengerjakan haji. Ketika usia muda dan badan sihat eloklah pergi haji, banyak ibadah boleh buat di sana.
Berbalik kepada sambutan Aidil Adha, Kemeriahannya pabila kita melakukan ibadah korban. Namun macam mana halnya pada tahun ini kerana keadaan banjir yang melanda beberapa negeri terutamanya Terengganu dan Kelantan yang sinonim dengan perayaan ini.
Bagi kita yang tidak mengerjakan ibadah haji, kita disunat mengerjakan korban juga disunatkan bertakbir selama 3 hari ( hari tasyrik ) hingga solat Asar hari raya ketiga. Pada 9 Zulhijjah juga umat Islam disunatkan berpuasa.
Apa sahaja ibadah yang kita lakukan hendaklah dengan ikhlas dan diterima oleh Allah hendaknya, InsyaAllah.

Monday, November 9, 2009

PIALA MALAYSIA

Tahniah buat N9 kerana merupakan pasukan yang hebat tahun 2009.Kejayaan merangkul Piala Malaysia khas buat Yang di-Pertuan Besar yang baru ditabalkan. Kemenangan 3-1 membuktikan bahawa N9 adalah kuasa baru bola sepak Malaysia. Diperhatikan pada perlawanan kemuncak baru-baru ini, N9 menguasai keseluruhan babak permainan baik di benteng pertahanan, tengah dan bahagian serangan berbanding Kelantan. Slogan Hoben Jang Hoben membuktikan N9 mempunyai ramuan sebenar menjadi juara.
Tidak lupa juga kepada Red Warrior, jika dinilai prestasi sepanjang musim merupakan kelompok pasukan terbaik dalam negara. Pertama kali berada dalam liga Super dan terus dua Finale Piala FA dan Piala Malaysia. Tempoh hari, Kelantan kurang pengalaman di barisan pertahanan dan tengah yang menjadi tunjang kepada permainan bola sepak.
Kepada penyokong Kelantan pula janganlah menang sorak kampung tergadai. Keganasan mereka bukanlah membuktikan bahawa semua penyokong bersifat ganas. Bila menang dipuja, bila kalah penyokong mengganas. Kalah menang adat pertandingan. Hukuman bermain di stadium kosong bukan penyelesaian yang berkesan. FAM mesti mencari satu alternatif untuk mengatasi masalah ini.
Jika diperhatikan pada perlawanan akhir tempoh hari, berdetum, detum bunyi mercun macam sambut Tahun baru cina pun ada. Tidak kurang juga dengan sikap penonton yang suka membaling objek seperti botol minum ke dalam padang. ( Agaknya tong sampah tidak disediakan... ). Kesian jurukamera rtm yang berdarah kepala kerana terkena batu yang dibaling oleh penyokong.... Apa-apa pun sekali lagi tahniah kepada N9 yang muncul juara Piala Malaysia edisi ke 83. Harap pada 2010 bola sepak Malaysia lebih maju dan berada dalam kelompok 100 pasukan dunia.


Monday, October 5, 2009

FELDA MENGKAWANG



Assalamualaikum.... Apa ada pada nama? Tak kenal maka tak cinta. Jadi peluang ini penulis ingin mempromosikan nama MENGKAWANG yang menjadi nama blog ini. Kira-kira 420KM dari Kuala Lumpur, 70Km dari Kuala Terengganu, 30Km dari pekan Kuala Berang dan 35Km dari Ajil. Perjalanan ke Mengkawang dari KL mengambil masa lebih kurang 5 jam melalui LPT (yang belum siap sepenuhnya).


FELDA atau LKTP lebih kurang sama maknanya. Ada juga orang menyebutnya sebagai tanah rancangan kerana asalnya hutan dan telah diterokai dengan kawasan penenmpatan dan kawasan ladang. ( lebih kurang Bilut ). Felda Mengkawang memiliki keluasan 163.30 hektar bagi kawasan penempatan atau kampung dan 191.88 hektar kawasan ladang yang seratus peratus diliputi dengan pokok kelapa sawit yang merupakan punca pendapatan utama. Seramai 329 orang peneroka yang mendiami di FM.Kemasukkan peneroka pada awalnya pada 15.11.1984.

Selama lebih 25 tahun itu ( JUBLI PERAK ) ia dipimpin oleh 6 orang pengurus Felda bermula En. Yazid, En. Daud, En. Khlaid bin Ismail ( 1984 ), En. Mohd Akhir bin Hashim, En Razak bin Ibrahim dan En. Tuan Amran bin Tuan Chik ( sekarang ).

Manakala Timbalan Pengerusi JKKR Felda Mengkawang bermula dengan En. Mekan bin Tahir, En. Mohd Che Long, En. M. Nor bin Omar dan En. Zakaria bin Mat Ali ( 2004 hingga sekarang ). Timbalan Naib Pengerusi ini dianggap macam ketua kampung. Segala perkara dan masalah yang berkaitan dengan peneroka akan cuba diselesaikan. Timbalan Pengerusi JKKR ini akan dibantu oleh beberapa orang ketua blok.


En. Zakaria bin Mat Ali ( Pok Ya )
Selama 25 tahun pelbagai tranformasi yang telah berlaku di FM. Dulunya jalan tanah merah dipenuhi selut kini bertukar jalan raya. ( Ada juga tahi lembu ). Kini FM telah dipenuhi dengan generagi ketiga iaitu cucu-cucu kepada pengasasnya.

Pelbagai prasarana yang dapat dilihat di FM. Antaranya, sekolah, pejabat Felda, Pejabat JKKR, Pejabat Koperasi, Dewan Serbaguna, Rumah GPW, Masjid, Bangunan Literasi, Sekolah Agama, Klinik Kesihatan, Pos Kawalan, Gerai Felda, Padang Bola, Gelanggang Futsal, Gelanggang Takraw, Tadika, Taman Reaksi, Kedai D'Mart dan banyak lagi kemudahan asas.
MasjidPejabat FM


Thursday, September 24, 2009

HARI RAYA AIDILFITRI


Hari Raya memang sinonim dengan orang Islam. Aidilfitri juga Aidil Adha. Namun 2 perayaan ini amat berbeza sekali. Anda sendiri tau kan.. ( Tak perlu nak ulas panjang-panjang ). Apa yang ingin dikongsi bersama dalam ruangan ini ialah camne perayaan itu disambut atau diraikan di sesuatu tempat. Al-maklumlah banyak merantau banyaklah pengalaman beraya di tempat orang. Di Pulau Timbang Sandakan, Kg. Lubok Kelubi dan FM amat berbeza sekali namun ia tetap diraikan.

SEBELUM RAYA:
Kenalah puasa... Tak puasa macamana nak raya. Solat tarawih, tadarus, sedekah dan ibadah lain termasuklah zakat. Zakat rukun Islam ke 4 yang paling penting dan wajib dilaksanakan bagi umat Islam selepas puasa. Zakat yang dimaksudkan ialah zakat fitrah. Namun zakat pendapatan, emas dan sbgnya juga perlu dilaksanakan bila cukup syarat-syaratnya. ( Yang ni ramai umat Islam terlepas pandang atau buat tak tahu). Di Selangor ketetapan zakat fitrahnya RM7 seorang, di T'ganu pula umat Islam dikenakan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan dan terbahagi kepada 3 peringkat iaitu RM5, RM7 atau RM8. ( Kalau makan beras mahal maka kena bayar RM8 seorang ). Zakat ini bertujuan untuk membersihkan serta menambahkan keberkatan ibadah puasa. Ia dilaksanakan sebelum 1 Syawal, apabila dibayar selepas 1 syawal ia dianggap sedekah.

SEHARI SEBELUM RAYA
Hari inilah orang besar melihat anak bulan di tempat yang telah ditetapkan. Nampak - raya, tak nampak puasalah lagi. Keputusannya akan diumumkan oleh penyimpan mohor besar raja-raja sebelum solat Isyak.


Hari ini juga semua sibuk membuat persiapan terakhir seperti bersih rumah, bakar lemang, kacau rendang, ketuapat dan sebagainya. Masa awal mengacau rendang bukan main ramai lagi yang menolong.


Tapi bila dah terasa bahang panas maka makin kuranglah pengacaunye... Nak masak rendang tu mengambil masa lebih kurang 4-7 jam. ( Bergantung kepada api dan kuantiti daging ).


MALAM RAYA
Kebiasaannya pada malam raya ni laungan takbir akan berkumandang di setiap masjid dan kaca televisyen serta corong radio. Kat masjid tu sampai bila? Kat tv n radio jarang-jarang je.Tapi apa yang ingin dikongsi bersama sesetengah kampung mengamalkan amalan bertakbir dari rumah ke rumah. Pada pandangan penulis amalan ini memang bagus kerana ia dapat mengeratkan silaturrahim dan bermaaf-maafan sesama sekampung. Contohnya di Kg. Lubok Kelubi tradisi ini diteruskan dengan beberapa kumpulan. Maka ketua kumpulan akan bergerak dari satu rumah ke satu rumah mengikut kawasan yang telah ditetapkan.

Hidangan di setiap rumah bergantung kepada tuan rumah. Kebiasaannya ahli rombongan makan sedikit je, sebab banyak rumah nak kena pergi. Dalam rombongan itu kebiasaannya dalam lebih kurang 20 orang ( mengikut kawasan ditetapkan ). Sampai je terus bertakbir, berdoa dan ucapan hari raya, lepas tu makan dan salam. Budak-budak yang mengikuti rombongan ini ada akan dapat duit raya dari tuan rumah. Setiap kawasan ada dalam 15-20 rumah. Bermula selepas solat Isyak dan takbir di Masjid lebih kurang jam 9.00 malam hinggalah mencecah jam 2 pagi. Amalan ini patut diikuti oleh tempat-tempat lain agar kemeriahan Aidilfitri dirasai. Sesetengahnya pula hanya menonton tv hingga pagi tambahan lagi ada EPL.

HARI RAYA
Pagi-pagi lagi telah ke masjid untuk bertakbir seterusnya solat sunat Aidilfitri. Selepas solat diadakan tahlil untuk arwah-arwah orqng kampung yang terdahulu meninggal dunia. Macam tempat lain juga bersalam-salaman dan menikmati juadah hari raya yang dibawa dari rumah masing-masing. Selepas pulang ke rumah bermaaf-maafan sesama ahli keluarga dan ada yang merakamkan fotografi bersama keluarga. Bukannya selalu. Setahun sekali. Kunjung-mengunjungi dari rumah ke rumah di teruskan lagi bersama ahli keluarga. Anak-anak kecil sibuk mengumpul duit raya dari orang yang lebih dewasa.
Ada juga yang mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama ni. Aktiviti ziarah menziarahi ini berlarutan hingga ke malam.
HARI RAYA KEDUA
Hari Raya Kedua ni, biasanya peri ke rumah saudara mara yang jauh-jauh... Bagi penulis berada di atas kereta di Lebuh Raya Pantai Timur pulang ke FM. Akhir sekali jangan lupa puasa sunat syawal.

Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga buat semua pembaca dan umat Islam... dan jumpa lagi....

Sunday, September 20, 2009

2009 2009

Salam aidilfitri buat semua.... Semoga kita akan berjumpa lagi dengan Ramdhan akan datang. Pada tahun ini 1430h bersamaan 2009 umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal dan jatuh pula pada 20 September 2009. Pelbagai tafsiran dibuat mengenai tarikh tersebut. bagi umat Islam tidak lebih dari itu hanya menjungi sanak saudara mengeratkan hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan. Maaf zahir batin.
Bagi penulis raya ini terbahagi kepada beberapa bahagian atau episodnya: Pertama, sehari sebelum raya, Malam Raya dan Hari Raya. Semua itu akan dikongsi bersama dalam ruangan ini pada keluaran lain. Tunggguuuuu.......


Friday, September 18, 2009

MALAYSIA vs INDONESIA

Dalam kesibukan menyambut 1 Syawal dan 1Malaysia, negara dikejutkan dengan isu 'sweeping'. Apa itu 'sweeping'? Hubungan antara dua negara ini hampir tegang kerana isu yang kecil sahaja. Puncanya dari klip video yang mempromosi Malaysia didakwa telah menggunanakan tarian Pendet dari Bali sebagai tarian Malaysia. Betulkah begitu?
Impaknya telah mencemaskan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia kerana takut 'relawan ganyang Malaysia'. Sungguh malang ketika sentimen buruk dibiarkan tanpa ada usaha menghindarkan perasaan bermusuhan dengan Malaysia.
Tarian Pendet dijadikan isu besar....
Adakah hubungan baik dua negara ini akan berakhir? Hari-hari dengar lagu Indon kat radio, tengok sinetron, suruh bibik kemas rumah, makan bakso/soto dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan rakyat Indon meminati artis Malaysia, cuma orang Malaysia saja yang tidak menjadi buruh binaan di Indonesia.
Indonesia patut berterima kasih kepada Malaysia kerana sebahagian ekonomi negaranya diperolehi dari Malaysia. kerja kat Malaysia, bulan-bulan hantar duit. Sesekali balik Indonesia boleh jadi jutawan. Begitu juga rakyat Malaysia selalu melancong ke Indonesia.
Hubungan erat negara serantau ini boleh diteruskan lagi melalui pelbagai sudut antaranya sukan dan hiburan. Dalam sukan seperti sukan sea, kejohanan bolasepak, badminton dll. Janganlah kerana isu kecil diperbesar-besarkan. Semoga hubungan baik dua negara ini dikekalkan.

Tuesday, September 15, 2009

SURAT KHABAR LAMA

Minggu terakhir Ramadhan pelbagai perkara yang hendak dilakukan, shopping, tukar langsir, buat kuih, kemas rumah dan macam-macam lagi. Bagi penulis seminggu sebelum raya, terpaksalah kemas rumah. Apa yang hendak dikongsi bersama mengenai surat khabar yang dikumpul lebih kurang 6 atau 7 tahun terpaksa dibereskan agar tidak menyempitkan ruang rumah. Itupun tak tahan dengar leteran 'someone' yang paling penting dalam hidup ini. Tak ada 'someone' tak ketentuan hidup. Itulah pentingnya seorang isteri. Leteran itu untuk kebaikkan semua.
Sudut simpanan surat khabar lama 'old paper'
Jadi, hari minggu pergilah jual surat khabar lama, trip pertama dapatlah 139kg dan dibeli dengan harga 25sen je. Kemudian  suruh pembeli barangan kitar semula datang ambil kat rumah.  Kali ini berat surat khabar mencecah sampai 309kg. Bila datang rumah dia ambil 20sen/kg. 20 sen kira oklah sebab tak perlu nak angkut berulang-alik dengan WJY 9665. Selain itu semua barangan plastik turut dijual. Taklah banyak sangat dalam 4kg je. Plastik dijual dengan 70sen sekg.
Old paper seberat 139kg dalam WJY 9665
Old paper dalam lori.Bye, bye...
Akhir sekali buku-buku, surat-surat, handout sekolah yang tahun 2008 ke bawah turut dijual. Ada juga handout 2009, maaflah kalau hendak guna lagi. namun masih ada lagi segelintirnya dalam simpanan.
Sepatutnya benda tu semua boleh di 'recycle' tapi nak buat macam mana, kekangan masa, baik jual sahaja. Dapat juga duit bolehlah beli juadah berbuka puasa. Bagi mereka yang boleh me'recycle' lagi banyak dapat duit agaknya. Sebabnya tabung kuih dijual di pasar raya dengan harga 79sen sebiji. Kalau jual berapa biji nak cukupkan sekg, baru dapat 70sen.
Inilah 'koleksi menyemak' kediaman, penuh 1 lori, hasilnya lbh kurang RM 100.
Akhirnya, sedih juga rasanya hasil koleksi surat khabar lama selama 6 @ 7 tahun bermula 2002 hingga kini,  surat khabar dibeli dengan harga RM1.50 sehari. 6 tahun ada lebih kurang 2190 hari X RM1.50 maka lebih kurang RM 3 285 secara kasarnya. Itu belum kira lagi hari Sabtu dan Ahad. Kalau Sabtu dan Ahad paling kurangpun 3 jenis akhbar dibeli.
Apa-apapun terima kasih diucapkan kepada Berita Harian, Harian Metro, Kosmo dan Sinar kerana menjadi akhbar pilihan serta telah memberi banyak informasi. Kini bermula semula pengumpulan akhbar musim kedua, tak tahulah sampai bila... Sekiranya ada sesiapa yang nak booking dengan harga yang tinggi sedikit bolehlah masuk tender. Sekian, Hargailah alam sekitar, Jagalah kebersihan, Kebersihan sebahagian dari Iman. Bersih dah dapat pahala. Jadi sentiasalah bersih. Fikir dulu sebelum bertindak. Sayangilah alam sekitar.