Monday, January 25, 2010

Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU

Pejam celik, dah masuk 2010, masa berlalu dengan cepatnya. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kebasaran. Allah menganugerahkan manusia dengan akal fikiran maka gunakanlah akal fikiran dalam melakukan sesuatu. Manusia yang tidak menggunakan akal fikiran lebih buruk dari binatang yang ada otak.

Tirai 2009 dilabuhkan dan kita menyambut kehadiran tahun baru. Bagi kebanyakan kita, kedatangan 2010 tentunya mengundang pelbagai keazaman dan tekad untuk memperbaiki kekurangan serta kelemahan diri. Sama ada dari segi fizikal atau spiritual, ketibaan tahun baru biasanya memberi sebab untuk kita membuka lembaran baru demi memperbaiki kehidupan dan persekitaran. Apa pun bentuk atau caranya, yang pasti ia menjurus kepada usaha membawa perubahan ke arah yang positif. Justeru, demi mencapai matlamat itu, ia sudah tentunya menuntut pembaharuan dalam setiap sesuatu yang dilakukan demi menjadikan kehadiran tahun baru sebagai sempadan peralihan ke arah kehidupan lebih sempurna. Dalam keghairahan kita memperbaharui tekad dan keazaman, kita juga mesti tidak lupa bermuhasabah terhadap pelbagai perkara yang dilalui atau dilakukan sepanjang 2009 untuk mengenal pasti setiap kelemahan dan memikirkan cara terbaik bagaimana ia dapat ditangani demi memajukan lagi diri, bangsa, agama dan negara mengharungi 2010. Hakikatnya, masih terlalu banyak hajat yang tidak kesampaian, matlamat yang belum dipenuhi, janji yang tidak tertunai, hatta azam yang belum berjaya direalisasikan. Namun kegagalan itu tidak harus melunturkan semangat kita untuk terus mengorak langkah mencapai kemajuan dalam segenap lapangan.

Sebagai rakyat cinta kepada tanah airnya, kita harus menjadikan tekad untuk memaju, melindungi, mempertahan dan memartabatkan bumi bertuah ini sebagai antara keazaman dalam menyambut tahun baru. Sumber paling bernilai bagi sebuah negara bukan apa yang tertanam di perut bumi atau lautannya, sebaliknya sumber manusianya. Ia bermakna, setiap kita adalah unsur utama yang akan menentukan jatuh atau bangunnya negara tercinta ini. Jika kita mampu menghayati sepenuhnya hakikat ini, nescaya sebahagian daripada cita-cita kita untuk menjadi warga Malaysia yang bertanggungjawab sudah pun tercapai. Kesedaran ini tentunya akan memacu kita menzahirkan pelbagai nilai positif yang diperlukan untuk memajukan negara. Ia akan menjadikan kita peka terhadap keutamaan yang diperlukan dalam menjayakan matlamat itu. Biarlah isu remeh yang mencetus tompok hitam sehingga membelenggu pencapaian kita sepanjang tahun lalu tersimpan dalam lipatan tabir 2009 malam tadi. Marilah kita menjadikan 2010 sebagai medan memupuk perpaduan, mengetepikan perbezaan, memacu pertumbuhan dan memperkasa kedaulatan. Masih terlalu banyak yang perlu dilakukan dalam masa yang semakin terhad kesan himpitan dan persaingan global yang semakin sengit. Kita bertanggungjawab memainkan peranan dengan menggembleng kekuatan yang disatukan dan mengetepikan perbezaan yang melemahkan. Semoga tabir 2010 yang disingkap tengah malam tadi membawa sinar kegemilangan. Selamat Tahun Baru.