Wednesday, December 30, 2009

SK PULAU TIMBANG

Assalamualaikum....
Dalam kesibukan menyambut tahun baru, terdetik pula ingin mencerita tentang pengalaman pertama 'posting' ke Sabah. Awal 1997 berlepas ke Sabah bersama rakan-rakan selepas bermalam di Wisma Belia, KL. Penerbangan ke Kota Kinabalu memakan masa 2jam lebih. Sesampai di KK kami ditempatkan dihotel selama seminggu untuk taklimat. Akhirnya barulah dapat tahu penempatan dengan tiket kapal terbang lagi ke Sandakan. Sampai di Sandakan disambut pula oleh senior-senior yang dah lama bertapak. Ingat lagi pertama puasa 1997 ( Jumaat ) aku dengan 5 orang sahabat menaiki bot laju PPD untuk di hantar ke sekolah masing-masing. Seorang demi seorang 'dicampak' di pulau. Aku yang ketiga di Pulau Timbang atau lebih dikenali Kampung Tronglit. Masyarakat sana memang baik dan amat menghormati tetamu. Sampai di jeti, sekolah dah tutup dan kebanyakkan gurunya telah keluar ke bandar Sandakan. Cuma adalah cikgu tempatan iaitu Cikgu Awang dan Cikgu Samrah menyambutku dan menempatkan aku di Masjid. Ketika tu sibuk penduduk kampung hendak mendirikan solat Jumaat. Sesudah solat Jumaat tinggallah aku keseorangan di masjid dan 1001 persoalan dalam kepala. Almaklumlah tempat baru mana hendak dituju, bayangkan pulau. Mana aku nak buka puasa, bukannya ada kedai makan. Hampir berbuka puasa Cikgu Samrah menjemput aku ke rumahnya untuk sama berbuka. Alhamdulillah sahur pun dipanggilnya lagi. Aku menetap dulu di masjid selama 2 hari 1 malam.
          Pada petang Ahad, barulah aku dapat tempat yang selesa sedikit iaitu berkongsi kuarters guru dengan cikgu Isak Thomas. Selama sebulan dan akhirnya hari raya, aku masih di Tronglit. Hatrik, 3tahun berturut-turut aku beraya di Kg Tronglit.
Sememangnya banyak kenangan yang tak dapat dilupakan selama 3 tahun aku bertugas di SK Pulau Timbang, Sandakan, Sabah. Kahwin tahun 1999 dan masih juga berpisah dengan isteri. Akhirnya, tahun Millenium, alaf baru tahun 2000 aku bertugas di SK Ampang, Selangor sebelum bulan Jun 2000 ditukarkan ke SK. Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.
Aku amat berterima kasih kepada guru di SK Pulau Timbang dulu antaranya, En Hassan b Taris (GB), Cikgu Awang, Cikgu Isak Thomas, Cikgu Samrah Diki, Cikgu Idrohom Ismail, Cikgu M. Hassan Nordin b Musa, Pn. Zamnatul, Pn. Aziah juga Kak Salomah. Begitu juga masyarakat Tronglit yang ku anggap semuanya adalah keluarga angkat. Sememangnya masyarakat Tronglit amat menghormati tetamu dan amat-amat baik kepadaku. Insya Allah satu hari akan ku ke sana lagi. Maaf tak ingat semua penduduk kampung untuk ditulis di ruangan ini ( nanti ada yang berkecil hati bah ) Antara kenangan di Pulau Timbang:







Friday, December 25, 2009

CUTI-CUTI MALAYSIA

21-23/12/2009, selama 3 hari 2 malam aku dan keluarga telah memanfaatkan cuti sekolah ke Tiara Beach Resort, Port Dickson. Lebih kurang 100km dari Hulu Langat. Turut dibawa sama anak-anak buah ( Aqila, Haziqa dan Aiman ). Keluarga ku macam biasalah Aku, isteri, anak ( Akif dan Aina ). Walaupun Akif masih lagi "sengal-sengal kepala" namun dia nak juga ke sana. Isteriku sibuk menyiapkan assigment yang hendak dihantar. Antara aktivitinya; mandi kolam, berbasikal, video game, kid corner, fish spa, urut kaki dan sesekali keluar ke pantai PD.
Aksi-aksi di Tiara Beach Resort, PD.








Friday, December 18, 2009

MAAL HIJRAH

Salam Maal hijrah....
"MEMANTAPKAN UKHWAH MEMPERKASA UMMAH"

PERISTIWA hijrah Nabi Muhammad SAW kira-kira 1431 tahun lampau menjadi asas kepada pembinaan tamadun Madinah dan Islam secara khusus. Perjuangan Rasulullah Nabi Muhammad SAW di Makkah yang dikuasai kafir Quraisy dan penentangan puak kafir yang menolak mentah-mentah syiar Islam dihadapi Baginda dengan penuh tabah dan sabar sehingga Allah SWT memerintah berhijrah ke Madinah demi kesinambungan menegakkan akidah Islam.
Sesungguhnya umat Islam perlu insaf bahawa agama Islam yang syumul perlu dijadikan cara hidup kerana perjuangan yang penuh dugaan demi menyampaikan kalamullah perlu dihargai oleh setiap khalifah di muka bumi dengan penuh takwa.
Umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dengan prasarana moden dan status negara kita sebagai negara Islam dan agama Islam sebagai agama rasmi, maka wajarlah kita bersyukur dengan kemudahan dianugerahkan Allah kepada kita.
Kita ada masjid indah untuk beribadat. Setiap taman mempunyai surau yang mampu memuatkan jemaah untuk beribadat tidak kira dari parti politik manapun, di depan Allah semua sama cuma ketakwaan dan amal ibadah yang membezakan kita di sisi-Nya. Justeru, wajar kita memanjat rasa syukur kepada Ilahi kerana kepemimpinan negara sejak zaman selepas merdeka tidak mengabaikan pembangunan modal insan yang menitikberatkan pembentukan sahsiah dari segi keagamaan.
Umat Islam wajar menggunakan sepenuhnya nikmat beribadat kepada Allah dengan mengunjungi masjid dan surau serta mengimarahnya. Jangan jadikan masjid semata-mata tempat untuk ‘berhijrah’ daripada masalah kewangan dan perasaan tidak keruan atau dijadikan mimbar politik memecah-belah perpaduan ummah.
Sebagai seorang Muslim temujanji lima waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak setiap hari adalah wajib. Dalam menghayati konsep hijrah itu sendiri, umat Islam dianjurkan untuk berpindah daripada satu kedudukan yang buruk dan mudarat kepada kedudukan lebih baik dan selamat.
Amat bertepatan sekali usaha kerajaan di bawah konsep Islam Hadhari dan 1Malaysia dan penerapan nilai Islam dan memperkasakan institusi Islam seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam secara berterusan dipergiatkan.

Usaha murni kerajaan wajib kita sokong dalam membanteras gejala tidak sihat dalam masyarakat. Ulil Amri wajib disokong jika dasar menghapuskan rasuah ini mampu menjadikan negara kita lebih aman dan makmur. Maka sempena Maal Hijrah 1431, berubahlah dari negatif kepada positif. Allah tidak akan ubah nasib seseorang itu melainkan dirinya sendiri.

MALAYSIA JUARA

SYABAS & TAHNIAH... Malaysia mencatat sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA 25 selepas 20 tahun penantian apabila mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos.
Jaringan sendiri pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Emas acara bola sepak itu merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara dalam Sukan SEA tersebut.
Kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.
Ini merupakan kali pertama Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia Tenggara termasuk Piala Tiger.
Kemenangan itu turut menebus kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.Vietnam yang turun selaku pasukan pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental bertahan daripada dibocori.
Hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga tertampan ke gawang sendiri, yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.
Pujian harus diberikan kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi merealisasikan impian selama ini.
Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang dimenangi ini akan mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia.
Nampaknya, bolasepak negara berada dalam proses Transformasi sesuai dengan sambautan Maal Hijrah dan Tahun baru 2010.

Friday, December 4, 2009

AIDILADHA

Aidil Adha. Kemeriahannya bila melakukan ibadah korban. Pada tahun 1430h keluarga kami menyembelih seekor lembu sebagai pengorbanan pada tahun ini. Daging tersebut diagih-agihkan kepada jiran tetangga. Antara kenangan semasa mengerjakan ibadah ini:


Semoga ibadah korban kami diterima oleh Allah dan ibadah ini akan dilaksanakan pada setiap kali menyambut Aidil Adha.


KUNJUNGAN TAN SRI DR. MOHD YUSOF NOOR

Salam 1Malaysia buat semua. FM mencatat sejarah tersendiri kerana menerima kunjungan orang No.1 FELDA. Peristiwa ini berlaku pada 4 Oktober 2009, namun penulis baru sahaja mendapatkan gambar untuk dimuatkan dalam blog ini untuk tatapan umum. Kunjungan beliau sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Tahlil Allahyarhamah Pn. Asmah yang meninggal dunia dengan tragis.
Dalam majlis tersebut Y. Bhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Pengerusi FELDA turut sama bertahlil dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarhamah serta menikmati jamuan hari raya.